Arena bola sepak Malaysia dikejutkan dengan berita bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan meninggal dunia hari ini pada usia 65 tahun.
Berita sedih ini dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj.
Difahamkan bekas jurulatih Selangor FC itu meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dialami sejak setahun yang lalu.
Lahir pada 9 Mei 1958, anak jati Perak ini pernah mewakili Harimau Malaya dari 1979 hingga 1983. Dalam tempoh itu, Sathianathan membantu Malaysia meraih pingat gangsa Sukan SEA 1983.
Selepas memulakan kariernya sebagai jurulatih pada 1990, beliau pernah membimbing beberapa pasukan seperti Sarawak United, Negeri Sembilan FC, Felda United FC, Kelantan FC dan skuad bawah 23 tahun negara.
Sathianathan pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan FC pada 2010 dan gelaran Liga Perdana bersama Felda United FC pada 2018.
Beliau juga pernah meraih anugerah Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) untuk tahun 2010, 2012 dan 2017.
MakanBola ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga B. Sathianathan.