Pengarah teknikal pasukan Sarawak United, B. Sathianathan, beliau berpendapat bahawa para pemain yang mewakili skuad Harimau Malaya bagi edisi Piala AFF Suzuki kali ini bukan di antara barisan yang ampuh.
Bekas pengendali negara itu menyatakan ada perbezaan dari segi kualiti barisan pemain skuad kebanggsaan pada edisi kelayakan Piala Dunia sebelum ini berbanding kini. Beliau akui prestasi yang ditampil muka-muka baharu kali ini amat kurang memberangsangkan.
Dalam pada itu, Sathianathan menyifatkan ketiadaan tonggak utama di bahagian flank kiri dan kanan iaitu Matthew Davies, Corbin Ong dan Sumareh serta pemain tengah berpengalaman seperti Azam Azih nyata memberikan impak yang kurang memuaskan dalam corak permainan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.
“Ini bukan barisan terkuat. Kalau kita lihat sebelum Covid-19 kita main di pusingan kelayakan Piala Dunia banyak muka baharu. Tapi bila kita tukar muka-muka baharu yang bermain dengan agak baik dulu, terserlah kelemahan yang ketara,”
“Dengan ketiadaan Matthew Davies, Corbin Ong (La’Vere Corbin-Ong), Azam (Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Sumareh (Mohamadou Sumareh) dan dengan tiadanya defensive midfielder yang tulen, kita boleh nampak perbezaannya,” kata Sathianathan kepada Bernama.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Selangor itu mengakui faham akan situasi yang dihadapi jurulatih skuad kebanggsaan, Tan Cheng Hoe dimana ini adalah perkara yang perlu dilalui sebagai seorang jurulatih jika gagal mencatat keputusan yang terbaik buat seluruh peminat bola sepak Malaysia.
Presiden Jurulatih Bola Sepak Malaysia itu menegaskan seharusnya tumpuan ke arah bagaimana punca prestasi skuad kebangsaan ini menurun dan cara untuk mengatasinya berbanding menuding jari sahaja kepada pihak yang berkenaan.
“Untuk menuding jari kepada Cheng Hoe memang senang, tetapi sebagai jurulatih dia terpaksa pikul beban ini. Ia sesuatu perkara yang perlu ditempuh seseorang jurulatih,”
“Sepatutnya kita mencari punca kegagalan bukan cari kesalahan, kita lihat graf prestasi pasukan negara menurun? Jadi di mana puncanya? Apa kelemahan utama? Adakah masalah itu berpunca dari bahagian pertahanan pasukan?” katanya.