MakanBola.com, Petaling Jaya, 13 Sept – Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar dalam satu sidang media sejurus tamat perlawanan semalam menyatakan rasa terujanya untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Pemain yang berusia 33 tahun itu berpendapat bahawa beliau sangat gembira jika diberi peluang untuk kembali mewakili Malaysia dan mengharumkan nama negara.
“Saya rasa begitu berbesar hati jika dipanggil kembali ke kem kebangsaan dan saya akan berusaha untuk merebut peluang tersebut sebaik mungkin.”
Baddrol turut menjelaskan bahawa corak permainan yang diterapkan di dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini amatlah baik. Beliau dilihat gemar dan suka dengan taktikal TCH yang kerap memperagakan permainan pantas.
“Sebelum ini kita dapat lihat pasukan kebangsaan sudah bermain dengan begitu baik melalui taktikal permainan yang laju oleh coach Tan Cheng Hoe sedikit sebanyak dapat membantu pasukan.”
Pemain tengah pasukan Kedah FC ini juga menegaskan bahawa dirinya sangat berbesar hati dan akan terima dengan hati yang terbuka jika dipilih untuk menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe kelak.
Lagenda bola sepak Kedah ini dalam pada itu berjaya menjaringkan gol ketujuh peribadi miliknya semalam ketika aksi perlawanan terakhir Liga Super 2021. Kedah FC yang bermain di laman sendiri berjaya memanfaatkan peluang itu apabila menang besar 4-1 keatas Melaka United.
Baddrol yang pada awal musim hangat dikritik penyokong bola sepak tempatan berjaya membuktikan kredibilitinya apabila menjadi penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2021. Dengan disiplin dan prestasi cemerlang Baddrol ketika ini, khidmat pemain berpengalaman ini pasti akan ditagih dalam pasukan.