Badminton Asia Championship: Jonatan Christie Tamatkan Perjalanan Lee Zii Jia
UltraSukan
BWF
Advertisements

Hari keempat saingan Badminton Asia Championship 2024 menyaksikan kemaraan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia disekat oleh Jonatan Christie dari Indonesia.

Dari segi rekod pertemuan, Zii Jia dilihat memiliki kelebihan setelah mencatatkan lima kemenangan berturut-turut ke atas Christie dengan kali terakhir adalah pada saingan India Open 2024 yang menyaksikan wakil negara itu menang 21-15, 21-13.

Pertemuan di kejohanan ini turut mengimbau kembali aksi final Badminton Asia Championship 2022 yang mana ketika itu Zii Jia muncul juara setelah menumpaskan pemain Indonesia itu dalam aksi straight set.

Advertisements

Aksi di set pertama menyaksikan penguasaan gelanggang jelas memihak Christie dengan beberapa pukulan yang gagal dikembalikan oleh Zii Jia sehingga jaguh Indonesia itu sempat mendahului 11-6 ketika interval.

Zii Jia cuba bangkit dengan aksi lebih kemas selepas itu namun begitu Christie lebih tenang dalam mematikan bulu tangkis ke gelanggang Malaysia sekaligus memastikan kemenangan di set pertama milik pemain negara jiran itu 21-11.

Bersambung set kedua, juara All England 2024 itu bermain lebih garang sehingga jauh meninggalkan wakil negara 10-2 pada suatu ketika, seakan tidak memberi peluang untuk Zii Jia mengheret permainan ke set penentuan.

Advertisements

Kesilapan-kesilapan kecil yang kerap dilakukan Zii Jia berjaya dimanfaatkan oleh Christie sehingga menyebabkan pemain kelahiran Kedah itu buntu untuk mencari jalan mendapatkan mata.

Tamat aksi, Lee Zii Jia tumpas 11-21, 6-21 di tangan wakil Indonesia, Jonatan Christie.

Dengan kemenangan ini, Jonatan Christie bakal membuat perhitungan berdepan wakil tuan rumah yang juga pemain di ranking kedua dunia, Shi Yuqi di pentas separuh akhir esok.

Advertisements

Pemain China itu turut mara setelah menumbangkan juara dunia tahun lalu, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand dengan keputusan 22-20, 21-13 dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung sengit.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram