Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan dengan menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae dalam pusingan pertama Badminton Asia Championship 2024.
Ini satu kejayaan yang membanggakan buat kem negara kerana dari segi ranking dunia, kelebihan memihak kepada Min-hyuk-Seung-jae.
Regu Korea Selatan itu yang juga pilihan kedua kejohanan ketika ini menduduki ranking kedua dunia berbanding Sze Fei-Izzuddin (ranking ke-19 dunia).
Selain itu, Min-hyuk-Seung-jae turut mengatasi mereka sebanyak dua kali dalam saingan Australia Open 2023 dan Korean Masters 2023.
Kelebihan itu gagal diterjemahkan juara dunia beregu lelaki 2023 itu dalam set pertama.
Sze Fei-Izzuddin mendahului Min-hyuk-Seung-jae dengan selesa pada kedudukan 11-5 sebelum meraih kemenangan 21-13.
Set kedua menyaksikan regu Korea Selatan itu cuba memberi tentangan sengit kepada Sze Fei-Izzuddin.
Malangnya, beberapa kesilapan yang dilakukan Min-hyuk-Seung-jae bijak dimanfaatkan regu negara sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-18.
Sze Fei-Izzuddin mengiringi Man Wei Chung-Tee Kai Wun dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.
Mereka perlu melepasi regu ke-11 dunia dari China, He Jiting dan Ren Xiangyu dalam pusingan kedua esok sekiranya ingin layak ke suku akhir.