Advertisement
“Bajet Kecil, Tapi Atlet Malaysia Juara Di Peringkat Antarabangsa” – Iqbal Yusoff
UltraSukan
UltraSukan
Faris/MakanBola

Walaupun sukan boling padang tidak sepopular sukan lain seperti bola sepak, sukan ini banyak mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur (PLBKL), Mohamed Iqbal Hj Yusoff selepas tamat Kejohanan Boling Padang Kuala Lumpur 2023.

Ini kerana sukan boling padang secara konsisten menyumbang pingat kepada negara di temasya-temasya besar seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Kejohanan Boling Padang Sedunia.

Antara atlet boling padang yang mengharumkan nama negara ialah juara dunia acara regu boling padang wanita, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi.

Justeru, Iqbal mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar memberi lebih banyak peruntukan kepada Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM).

Ini kerana peruntukan ini akan dapat membantu memajukan lagi perkembangan sukan boling padang di Malaysia.

“Kita tahu sukan boling padang bukan popular pun di Malaysia. Tetapi kenapa kita minta peruntukan lebih dari KBS untuk Persekutuan Boling Padang Malaysia? Sebab boling padang di Sukan Komanwel, kita raih pingat dan pingat (emas di) Kejohanan Dunia,” katanya kepada media hari ini.

Kejohanan Boling Padang Kuala Lumpur 2023 merupakan kejohanan boling padang terakhir PLBKL untuk tahun 2023.

Biarpun berdepan kekangan kewangan, PLBKL tetap berjaya menganjurkan tujuh kejohanan sepanjang tahun 2023.

Dan menurut wartawan UltraSukan, Faris Zukeiman, PLBKL bakal membuka tirai tahun 2024 dengan menganjurkan Grand Prix Lawn Bowls 2024.

Kejohanan itu dijangka berlangsung pada bulan ini. Grand Prix Lawn Bowls 2024 bakal disertai 32 pemain boling padang terbaik lelaki dan wanita.

Grand Prix Lawn Bowls merupakan medan penentuan siapa pemain terbaik dalam sukan berkenaan.