Sebagai juara kumpulan A Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Thailand berjaya menempah tiket ke separuh akhir dan lawan yang akan mereka hadapi ialah Malaysia yang mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan B.
Jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Mano Polking menegaskan bahawa para pemainnya perlu memberikan aksi yang lebih baik daripada perlawanan terakhir kumpulan A menentang Kemboja tempoh hari.
“Sasaran kami jelas iaitu untuk mempertahankan kejuaraan (Piala AFF). Namun, untuk memenangi kejuaraan sekali lagi kami perlu beraksi dengan lebih baik daripada apa yang kita lakukan pada hari ini (perlawanan menentang Kemboja).
“Kemboja bermain seperti kebanyakan pasukan bukan pilihan pada Piala Dunia 2022. Mereka bermain dengan corak bertahan dan menunggu waktu sesuai untuk melancarkan serangan balas,” jelas jurulatih berusia 46 tahun itu.
Manakala bagi penyerang berpengalaman Thailand, Teerasil Dangda, beliau mengingatkan rakan sepasukan perlu bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Malaysia di separuh akhir nanti. Beliau merasakan stamina adalah faktor yang memainkan peranan penting dalam sesuatu pertandingan.
“Dalam satu pertandingan, kecergasan merupakan sesuatu yang sangat penting. Para pemain perlu pulih sebelum menghadapi perlawanan seterusnya (menentang Malaysia),” jelas Teerasil seperti dilaporkan Bangkok Post.
Thailand dijadualkan menentang Malaysia pada aksi separuh akhir pertama yang bakal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum aksi separuh akhir kedua yang dijadualkan pada 10 Januari ini di Stadium Thammasat, Bangkok.
Untuk rekod, Thailand merupakan juara bertahan Piala AFF selepas memenanginya pada edisi 2020 yang mana menyaksikan mereka menumbangkan Indonesia dengan keputusan 6-2 secara agregat.