Kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona akhirnya berjaya menyelesaikan hutang dengan Borussia Dortmund dengan bayaran €148 juta (RM880 juta).
Hutang yang dimaksudkan ialah yuran perpindahan untuk bintang Perancis, Ousmane Dembele. Dembele beraksi untuk Barca dari 2017 hingga 2023.
Bekas bintang Stade Rennes itu tiba di Nou Camp dengan yuran berkenaan sebagai pengganti bintang Brazil, Neymar pada 2017. Neymar pada ketika itu sudah berhijrah ke Paris Saint-Germain dengan rekod perpindahan dunia bernilai €222 juta (RM1.06 bilion).
Meskipun merekodkan 127 penampilan di Nou Camp, Dembele bergelut dengan masalah kecederaan. Ini menyebabkan pemain sayap berusia 27 tahun itu terpaksa berehat untuk tempoh yang lama.
Situasi Dembele tidak dibantu dengan Barca perlu membayar klausa-klausa yang terkandung dalam perpindahannya kepada Der BVB.
Antara klausa tersebut ialah Barcelona perlu membayar Dortmund €5 juta (RM24 juta) sekiranya pemain sayap Perancis itu membuat penampilan ke-25, ke-50, ke-75 dan ke-100 untuk kelab berkenaan.
Walaupun Dembele kemudiannya berhijrah ke PSG dengan yuran perpindahan €50 juta (RM238 juta) pada musim panas 2023, Barca masih perlu menyelesaikan baki bayaran bonus dengan Der BVB.
Kini, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan kelab itu sudah melunaskan baki bayaran dengan kelab Jerman itu.
“Menurut laporan BILD, semua bayaran bonus daripada perpindahan Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund ke Barcelona sudah dibayar. Kesemuanya berjumlah €148 juta (RM880 juta),” katanya di X.
Berita ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pasukan yang dibimbing Hansi Flick itu. Ini kerana ini dapat mengurangkan isu kewangan yang dihadapi kelab Catalan itu.