Barcelona kini giat memperkuatkan kesebelasan utama dengan mendapatkan beberapa pemain seperti Pierre-Emerick Aubameyang, Adama Traore dan Ferran Torres pada Januari lalu walaupun kewangan mereka masih belum stabil sepenuhnya. Walaupun musim 2021/2022 belum berakhir, kelab sudahpun mula mencari pemain baharu bagi jendela musim panas kelak.
Antara nama yang semakin hangat dikaitkan adalah Andreas Christensen dan César Azpilicueta yang bakal bergelar ejen bebas pada akhir musim ini. 2 pemain bintang Chelsea ini menjadi keutamaan kelab The Catalan dalam memperkuatkan barisan pertahanan mereka.
Keadaan kewangan kelab yang belum stabil dan pemain-pemain tersebut boleh ditanda tangani secara percuma, ini merupakan peluang keemasan buat Barcelona. 2 pemain Chelsea tersebut dilihat tidak lagi menjadi pemain utama kelab dan mereka juga terbuka untuk berpindah keluar.
Barcelona kini mengikut rapat keadaan Andreas Christensen bersama-sama dengan kelab Bayern Munich. Barcelona bagaimanapun yakin dalam usaha mereka membawa masuk Christensen menurut laporan Fabrizio Romano.
Barcelona juga menanti keputusan akhir antara Chelsea dan pemain kelahiran Sepanyol berusia 32 tahun, Azpilicueta sama ada pemain tersebut akan dilepaskan secara percuma atau Azpilicueta akan terus kekal di Chelsea. Barcelona telah menawarkan kontrak sehingga Jun 2024 kepada beliau.
Nampaknya Barcelona mula memburu beberapa pemain yang boleh dibawa masuk secara percuma bagi mengelakkan perbelanjaan wang yang besar. Awal musim lalu, mereka sudah membawa masuk Eric Garcia, Memphis Depay dan Sergio Aguero secara percuma.
Malah Barcelona juga dikaitkan sedang memantau bersama-sama Manchester United seorang lagi pemain yang bakal bergelar ejen bebas, iaitu Frank Kessie yang merupakan pemain tengah AC Milan ketika ini.