Barcelona Tandatangani Ferran Torres Walau Hutang Keliling Pinggang
Dunia
Martin Rickett/POOL/AFP via Getty Images
Advertisements

Selepas satu musim setengah bersama Manchester City, Ferran Torres akhirnya sah berpindah ke Barcelona dengan yuran perpindahan €55 juta. Perpindahan tersebut telah dimuktamadkan hari ini menerusi kenyataan bersama kedua-dua kelab.

Torres telah memeterai kontrak sehingga 2027 dengan klausa perlepasan sebanyak €1 bilion. Beliau tampil sebanyak 43 kali bersama Citizens selepas berpindah dari Valencia pada Ogos tahun lepas dengan yuran perpindahan €23 juta. Pada musim lepas, Torres membantu kelab yang dibimbing Pep Guardiola menjulang kejuaraan liga dan Piala Liga.

Begitupun, musim ini beliau tersisih daripada kesebelasan utama akibat kecederaan. Selain faktor kecederaan, Torres juga perlu bersaing dengan Raheem Sterling, Jack Grealish, Bernardo Silva, Riyad Mahrez dan Gabriel Jesus. Situasi ini mendorongnya menerima cadangan perpindahan ke Nou Camp. Dengan kemunculan Torres di Blaugrana, ini merupakan pemain kedua yang dibawa masuk pengurus Xavi Hernandez selepas Dani Alves tiba di Nou Camp secara percuma.

Advertisements

Disebabkan kelab dibebani hutang berjumlah lebih €1.35 bilion, ia menyebabkan kelab tidak dapat mengekalkan Lionel Messi di Nou Camp musim ini. Messi kemudiannya berpindah secara percuma ke Paris Saint Germain.

Harapan Barca memanfaatkan ayam tambatan baru Sergio Aguero juga tidak kesampaian. Ini selepas legenda Manchester City itu yang tiba di Nou Camp secara percuma musim ini terpaksa mengumumkan persaraan beberapa minggu lepas akibat masalah jantung.

Torres ketika ini sedang pulih daripada kecederaan retak kaki yang dialami selepas perlawanan Liga Negara-Negara UEFA Sepanyol-Perancis pada Oktober lepas. Walaupun baru berusia 21 tahun, beliau sudah menjaringkan 12 gol daripada 22 perlawanan antarabangsa.

Advertisements

Ketika ini, Blaugrana menduduki tempat ketujuh dalam liga selepas permulaan buruk kempen musim ini. Akibatnya, pengurus sebelumnya Ronald Koeman disingkirkan oleh presiden Joan Laporta dan digantikan oleh bekas kapten Xavi. Sekiranya Torres disahkan pulih daripada kecederaan, kelibatnya boleh dilihat dalam aksi La Liga pertama Barca pasca-rehat musim sejuk pada 2 Januari ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram