Skuad muda Selangor FC bangkit daripada kekalahan di tangan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan membelasah Sabah FC II dalam aksi terbaru Piala MFL.
Merah Kuning yang dibimbing Abdifitaah Mohd Hassan berharap dapat merampas kedudukan keempat yang dihuni Terengganu FC II. Sementara Sabah mahu menamatkan penantian kemenangan pertama selepas empat perlawanan.
Barisan muda Selangor diperkuatkan dua tonggak import iaitu Reziq Bani Hani dan Yohandry Orozco. Sementara Haris Stamboulidis mengetuai bahagian pertahanan skuad muda Badak.
Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Reziq seawal minit kedua. Fakhri Azri Khairi Anuar menggandakan kelebihan Merah Kuning empat minit selepas itu.
Dua gol awal tuan rumah mendorong Sabah II melancarkan serangan bertubi-tubi menerusi gandingan Azhad Harraz Arman dan Harith Naem Jaineh.
Malangnya, usaha mereka mudah dipatahkan barisan pertahanan Selangor diketuai kapten, Muhammad Raimi Shamsul.
Sebaliknya, Selangor menyumbat gol ketiga menerusi Muhammad Izrin Ibrahim pada minit ke-42. Reziq memastikan tuan rumah mendahului 4-0 semasa rehat menerusi gol keempat pada minit ke-45.
Bersambung selepas rehat, pengendali Sabah II, Alto Linus membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan gawang mereka tidak bocor lagi.
Apa yang diharapkan beliau tidak berlaku. Merah Kuning makin dominan apabila Reziq menyumbat hatrik pada minit ke-60.
Penyerang Jordan itu kemudiannya dikeluarkan dengan pemain tengah, Afiq Danish Hasniruddin dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Merah Kuning menyumbat gol keenam menerusi Fakhri Azri pada minit ke-72. Keputusan 6-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor memintas Terengganu II di tangga keempat atas kelebihan jaringan. Sementara Sabah II terus terperosok di tangga tercorot liga.
Selepas ini, Sabah II akan menentang KL City Extension pada 23 Julai. Sementara Selangor akan beraksi pada 7 Ogos menentang Sri Pahang FC.