Advertising
Barisan Pemain Terengganu City Terima Bantuan Dana FIFA
MakanBola
Terengganu City FC

18 bekas pemain Terengganu City FC kini menghela nafas lega kerana mendapat bantuan dana FIFA Fund for Football Players (FIFA FFP).

Dana yang wujud hasil kerjasama FIFA dan FIFPro bertujuan membantu pemain-pemain bola sepak di seluruh dunia yang terkesan dengan isu tunggakan gaji.

Ad

Secara ringkas, isu tunggakan gaji membelenggu pasukan yang diberi jolokan The Sharks itu berlaku sejak 2018. Ini selepas pemain dan staf pasukan mengadu mereka tidak dibayar gaji dengan kelab ketika itu berdepan masalah kewangan yang serius.

Ad

Isu ini juga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghalang pasukan itu daripada bertanding dalam saingan Liga Perdana musim 2019.

Kini, barisan pemain Terengganu City menghela nafas lega kerana isu yang dihadapi mereka telah menemui jalan penyelesaian.

Ad

Kejayaan ini turut mencerminkan usaha berterusan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam membela hak dan kebajikan pemain bola sepak profesional negara.

Ad

Pemain tengah, Syazreen Suhaimi melafazkan rasa syukur selepas menunggu penyelesaian isu tersebut selama bertahun-tahun.

Ad

“Pertama sekali, kami bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi rezeki buat kami. Terima kasih kepada PFAM, FIFPro dan FIFA kerana menyelesaikan isu tunggakan gaji kami.

“Walaupun mengambil masa, saya amat menghargai usaha semua pihak dalam memastikan hak kami dipenuhi. Alhamdulillah, penantian kami sejak tahun 2018 akhirnya selesai. Semoga PFAM terus maju dalam menjaga kebajikan pemain bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut senada dengannya ialah bekas penyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan. Izzaq melihat bantuan ini sebagai bukti usaha memperjuangkan hak pemain bola sepak tidak akan terhenti.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PFAM atas usaha mereka membantu saya dan pemain lain mendapatkan hak kami.

“Selepas enam tahun menunggu, akhirnya saya menerima bayaran ini melalui FIFA Fund for Football Players. Komitmen PFAM membuktikan bahawa pemain bola sepak tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran seperti ini,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail melihat inisiatif dana FIFA FFP sebagai bukti isu hak dan kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan FIFA dan FIFPro.

“Kami di PFAM akan terus bekerja keras untuk memastikan kebajikan pemain bola sepak Malaysia terjaga. Peranan FIFPRO dalam inisiatif ini adalah sangat besar, dan kami bangga menjadi sebahagian daripada keluarga global yang mempertahankan hak pemain,” katanya.

PFAM berharap kelab-kelab di Malaysia mengambil serius kebajikan pemain termasuk membayar gaji mereka tepat pada masanya.