Barisan Pemain Warisan Indonesia Digantung Sementara Di Belanda
MakanBola
Go Ahead Eagles

Saingan Eredivisie di Belanda kini dilanda kontroversi besar membabitkan status kelayakan beberapa tonggak warisan Indonesia, antaranya Dean James.

Kes ini tercetus setelah NAC Breda membuat aduan terhadap Dean James, pemain warisan Indonesia-Belanda yang beraksi buat Go Ahead Eagles, kerana isu kewarganegaraan yang menjejaskan kelayakannya untuk beraksi dalam liga.

Menurut undang-undang Belanda, individu yang secara sukarela memilih kewarganegaraan lain berkemungkinan kehilangan status sebagai warganegara Belanda. Situasi ini menimbulkan persoalan terhadap kelayakan Dean James untuk terus beraksi di Eredivisie selepas beliau memilih mewakili Indonesia di peringkat antarabangsa.

Jika status Belandanya tidak sah, beliau perlu diklasifikasikan sebagai pemain luar Kesatuan Eropah, tertakluk kepada syarat permit kerja, visa sah, dan struktur gaji minimum yang ditetapkan.

Selain Dean James, beberapa pemain naturalisasi Indonesia lain turut terjejas akibat isu ini. Pertahanan Fortuna Sittard, Justin Hubner digantung sementara kerana status kewarganegaraan dan permit kerja masih belum disahkan.

Begitu juga pemain tengah, Nathan Tjoe-A-On yang beraksi untuk Willem II tidak dibenarkan bermain atau berlatih sementara sehingga dokumen kewarganegaraan dan permit kerjanya disahkan.

Sebagai langkah segera, Royal Dutch Football Association (KNVB) telah mengarahkan semua kelab untuk tidak menurunkan mana-mana pemain yang status kewarganegaraannya masih belum jelas. Sebahagian pemain juga tidak dibenarkan menghadiri sesi latihan sehingga siasatan selesai.

Kontroversi ini memberi impak besar kepada beberapa pasukan Eredivisie, kerana berpotensi kehilangan pemain utama secara serentak. Situasi ini turut menimbulkan kebimbangan tentang keseimbangan dan integriti liga.

Setakat ini, siasatan masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad diumumkan, namun Paspoortgate berpotensi menjadi salah satu isu terbesar dalam sejarah Eredivisie baru-baru ini.