Advertisements
Bayangan Awal Skuad Harimau Malaya Di Piala ASEAN
Harimau Malaya
MakanBola
FA MALAYSIA

Bayangan awal barisan pemain yang bakal membarisi skuad di Piala ASEAN 2024 sudah mula menjadi bualan.

Pasukan bimbingan Pau Marti kini mengharungi aksi persahahatan Tier 1 FIFA menentang Laos dan juga India.

Persiapan ini terarah kepada dua kejohanan yang bakal dihadapi oleh pasukan negara iaitu Asean Championship Mitsubishi Electric Cup 2024 dan juga Kelayakan Piala Asia 2027.

Beliau sebelum ini mengakui telah mengambil maklum akan jadual aksi Piala ASEAN yang bakal bertembung dengan aksi dua kelab Malaysia yang beraksi di Asia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Selangor FC.

Bukan itu sahaja, kemas kini jadual aksi Liga Super Malaysia yang bakal diteruskan pada bulan Disember ini memungkinkan pemain yang dilepaskan oleh kelab sahaja bakal membantu cabaran Malaysia.

Pau Marti bagaimanapun membariskan lebih ramai pemain muda berkualiti bagi dua aksi November ini sekaligus memberi bayangan awal bahawa gabungan pemain muda dan berpengalaman bakal menjadi taruhan.

“Ya, saya fikir ia akan diputuskan tidak lama lagi. Kita masih menunggu pengesahan kalendar liga (Liga Super) dan piala (Piala Malaysia).

“Apabila perkara itu disahkan, kita akan bersedia dari segi situasi dan senario. Apabila hal ini sudah diputuskan, kita akan maklumkan. Buat masa sekarang, kita akan fokus kepada Laos dan India sebelum kita fokus kepada aksi seterusnya. Kemudian, dari situ kita akan buat keputusan,” katanya.

Perkara ini turut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang memaklumkan kemungkinan besar Harimau Malaya bakal tampil dengan barisan pemain berbeza, Disember ini.

“Skuad B23 negara campuran pemain senior yang dapat pelepasan dijangka jadi taruhan ke Piala ASEAN 2024 susulan baki saingan Liga Malaysia musim ini tetap akan diteruskan ketika Piala ASEAN berlangsung bermula 8 Disember depan,” ujarnya menerusi satu ciapan di laman X.

Malaysia bakal membuka tirai saingan Piala ASEAN menentang Kemboja pada 8 Disember di gelanggang lawan dalam misi untuk sekurang-kurangnya mara ke pentas separuh akhir seperti edisi lalu.