Bekas Bintang Selangor Berpeluang Uji Serangan Barcelona
MakanBola
FCS/FCB

Bekas orang besi Selangor FC, Yazan Al-Arab berpeluang menguji ketajaman jentera serangan Barcelona.

Ini selepas kelabnya, FC Seoul mengumumkan aksi persahabatan antarabangsa dengan kelab Catalan itu pada 31 Julai ini.

Aksi sama turut diumumkan Barca di platform rasmi mereka. Aksi ini merupakan sebahagian daripada jelajah pra-musim Barcelona untuk menghadapi musim 2025/26.

Ini kali pertama Barca mengadakan jelajah pra-musim di Asia sejak musim 2019/20. Jelajah tersebut menyaksikan pasukan yang dibimbing Ernesto Valverde ketika itu menentang Chelsea dan Vissel Kobe.

Kini, Barca kembali ke Asia dengan memilih Vissel Kobe sebagai lawan pemanas badan mereka yang pertama pada 27 Julai.

Selepas FC Seoul, Barcelona akan menentang satu lagi kelab Korea Selatan, Daegu FC pada 4 Ogos. Ini kali pertama Barca beraksi di Korea Selatan sejak 2010.

Yazan dan FC Seoul dijangka berdepan barisan bintang hebat kelab Catalan itu. Antara nama yang dijangka muncul ialah Lamine Yamal, Raphinha, Robert Lewandowski dan Dani Olmo.

Selain Yazan, FC Seoul juga dijangka menurunkan barisan pemain berkualiti untuk menguji Barca. Antaranya bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard, Lucas Silva dan Marco Dugandzic.

Selepas menyertai FC Seoul pada Julai 2024, Yazan telah merekodkan 31 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol.

Beliau juga dijangka bersemangat selepas membantu Jordan layak ke Piala Dunia 2026 baru-baru ini.