Bekas calon jurulatih Malaysia, Kim Hak-bum difahamkan akan terus kekal berbakti di Korea Selatan selepas Jeju United mengumumkan pengendali tersebut untuk mengemudi pasukan bagi musim baharu.
Jurulatih berusia 63 tahun itu pernah dikaitkan untuk mengambil alih posisi pengendali bawah 23 tahun negara setelah pemergian Brad Maloney ke Australia.
Beliau merupakan jurulatih berpengalaman dalam arena bola sepak Korea Selatan dan pernah membimbing beberapa buah pasukan seperti Gangwon, Seongnam, Gwangju dan kini Jeju United.
Baca Lain: Kim Hak-bum dalam radar Malaysia
Bekas jurulatih pasukan Korea Selatan B-23 ini memiliki pencapaian yang amat luar biasa terutamanya apabila membantu Korea Selatan muncul juara di Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta.
Menerusi hantaran terbaru oleh Jeju United, kehadiran jurulatih berusia 63 tahun ini ditagih bagi membentuk persefahaman yang baik antara pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan.
“Kim merupakan jurulatih yang amat baik. Pemahamannya terhadap bola sepak moden juga tinggi. Beliau berjaya membentuk motivasi dan pengalaman yang baik bersama pemain muda. Ini akan membuka potensi baharu dalam diri pemain muda Jeju United.”
Kim Hak-bum juga optimis untuk membawa kecemerlangan buat pasukan yang menghuni tangga ke-9 musim ini.
“Jeju masih lagi pasukan yang baik dari kaca mata saya. Akan tetapi, ia memerlukan usaha yang banyak untuk membentuk sebuah pasukan yang mempunyai mentaliti kemenangan. Jeju akan memperoleh keputusan yang baik pada masa hadapan,” ujarnya.