Bekas Jurulatih Kelantan, Alfredo Vera Alami Penyingkiran Di Indonesia
MakanBola
RANS Nusantara FC

Bekas jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera terpaksa menelan kepahitan apabila melihat pasukan barunya, RANS Nusantara tersingkir ke Liga 2 Indonesia.

Ini selepas pasukan itu tewas 3-2 kepada PSM Makassar dalam aksi terakhir Liga 1 musim 2023/24 semalam.

Jurulatih Argentina itu dibawa masuk pengurusan The Phoenix pada akhir Mac lalu dengan misi mengelak penyingkiran ke Liga 2.

Walau bagaimanapun, misi tersebut tidak dapat direalisasikan dengan RANS hanya meraih satu keputusan seri dan tewas empat kali termasuk perlawanan semalam.

Dua gol Yakub Sayuri pada babak pertama memberi kelebihan kepada PSM Makassar. Kushedya Yudo kemudiannya merapatkan jurang buat RANS pada minit ke-62.

Penyerang Brazil, Adilson Silva memastikan RANS kekal di tangga ke-16 dengan gol pada minit ke-80. Penalti Evandro Brandao pada minit ke-92 tidak dapat mengubah nasib pasukan itu.

Keputusan ini menyaksikan RANS menyertai Persikabo dan Bhayangkara dalam saingan Liga 2 musim 2024/25.

Ini kali kedua Vera melihat pasukan yang dibimbingnya tersingkir. Sebelum ini, pengalaman itu dirasai beliau semasa bersama Kelantan pada musim 2023.

Dalam tempoh 17 perlawanan bersama The Red Warriors, pasukan itu tewas 15 kali, seri sekali dan menang sekali.

Kelantan kemudiannya disingkirkan ke Liga A1 Semi Pro selepas gagal memenuhi syarat yang ditetapkan First Instance Body (FIB) untuk mendapat Lesen Kebangsaan musim 2024/25.

Dan pasukan itu kini berpotensi disingkirkan daripada liga itu sekiranya gagal mendaftarkan 20 orang pemain dengan Liga Bolasepak Amatur (AFL) sebelum tarikh tutup 8 Mei ini.