Penyokong Newcastle United pastinya mengingati bisa penyerang Senegal, Papiss Cisse dalam EPL satu ketika dahulu.
Dan kini, TalkSport melaporkan bekas peledak Freiburg itu sedang mencari kelab baru selepas dilepaskan kelab Ligue 2, Amiens pada musim lepas.
Cisse ketika ini sedang menjalani latihan bersama kelab bukan liga, Macclesfield bagi mengekalkan tahap kecergasannya.
Menariknya, jemputan berlatih di kelab berkenaan dapat direalisasikan selepas bekas penyerang Fenerbahce itu beraksi dalam aksi bola sepak sembilan sebelah yang diadakan di Cheshire.
Ramai bekas pemain EPL muncul dalam aksi berkenaan termasuk Cisse, bekas pemain Manchester City, Stephen Ireland dan bekas pemain Manchester United, Alex Bruce.
Bruce yang kini menguruskan Macclesfield menjemput penyerang Senegal itu untuk beraksi bersama anak-anak buahnya.
Begitupun, ini bukan bermakna penyerang itu bakal menyertai kelab bukan liga itu. Ini kerana penyerang berusia 38 tahun itu mahu beraksi di peringkat tinggi selagi mana memiliki kudrat untuk berbuat demikian.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh wartawan sukan terkenal, Ekrem Konur. “Tidak, itu tidak betul, sahabatku. Terima kasih kepada mereka yang membawa saya ke situ untuk berlatih tetapi saya tidak menyertai Macclesfield FC,” katanya di X.
Cisse menyumbat 13 gol dan dua bantuan gol bersama Amiens pada musim lepas.