Bekas Pemain Bola Sepak Didakwa Culik Ahli Perniagaan
MakanBola
Markus Spiske

Seorang bekas pemain bola sepak didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Ahad atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan.

Akhbar Kosmo melaporkan Che Hisamuddin Hassan, 51, yang juga bekas pemain Kelantan era 1990-an hingga 2000-an dan Saufi Ariffin, 24, didakwa melarikan dan mengurung pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat pada tahun lalu.

Mereka didakwa melarikan Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah di tepi jalan Kampung Palekbang, Tumpat kira-kira jam 7.20 pagi, 20 Mei 2025.

Hisamuddin dan Saufi didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Walau bagaimanapun, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah untuk pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Sekiranya disabitkan bersalah, Hisamuddin dan Saufi berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan dengan peguam Heather Marie Anthony mewakili Hisamuddin. Saufi pula tidak diwakili peguam.

Pada awalnya, Siti Aisyha memohon kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM21,000. Heather Marie kemudiannya berhujah meminta agar ikat jamin minimum dikenakan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Hisamuddin dan Saufi diarah membayar ikat jamin sebanyak RM12,000. Tarikh 18 Mei ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Claim Money Packet TnG