Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Armin Maier menganggap bahawa bakat yang dimiliki oleh pemain sayap pasukan, Arif Aiman Hanapi berkualiti tinggi dan mampu terbang sehingga ke Eropah.
Pemain kacukan Singapura, Malaysia dan Jerman ini pernah berkelana bersama beberapa kelab di Eropah tidak menyembunyikan hasrat untuk beraksi bersama Malaysia suatu hari nanti.
Malah, dalam satu temubual bersama Harimau Malaya, pemain berusia 25 tahun ini serius mahu menggunakan kudratnya bagi membantu Malaysia dalam saingan Piala Asia hujung tahun ini.
Kini, beliau dalam proses menyelesaikan urusan dokumentasi bagi membolehkannya menjadi rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Armin melihat potensi yang ada dalam diri Arif Aiman bakal membawanya menyinar dan mampu menembusi pasaran Eropah.
“Saya suka melihat aksi Arif Aiman. Beliau pemain tempatan yang bagi saya memiliki kualiti yang amat baik.”
“Saya lihat beliau mampu beraksi di liga Asia dan juga Eropah, beliau memiliki kualiti dan potensi,” jelasnya.
Armin pernah beraksi bersama JDT sebelum melengkapkan perpindahan ke Selangor dan kelab terakhirnya ialah bersama kelab Jerman, SV Heimstetten.
Beliau juga menyimpan hasrat untuk kembali merancakkan Liga Malaysia sekiranya terdapat tawaran untuk mendapatkan khidmatnya.