Bekas Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mencadangkan KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kembali menjadi presiden badan induk itu.
Pandangan itu dibuat beliau dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.
Saifuddin membuat cadangan tersebut kerana beliau melihat Al-Sultan Abdullah bukan saja sedia mendengar pandangan pelbagai pihak.
Malah, baginda juga hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM. Ini berdasarkan pengalaman Saifuddin bekerja di bawah baginda.
“Hanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Abdullah sahaja yang boleh menerajui semula FAM. Ini kerana masa baginda menjadi presiden dulu, saya bekerja bawah baginda.
“Baginda ialah orang yang suka mendengar. Baginda juga ialah orang yang dihormati peringkat antarabangsa.
“Baginda tidak akan ambil sesuatu keputusan tanpa merujuk kepada Exco (FAM). Jadi bagi saya, kalau awak tanya saya, Al-Sultan Pahang yang paling layak,” katanya.
Saifuddin bukan satu-satunya figura yang mengesyorkan Al-Sultan Abdullah kembali ke FAM. Datuk Lim Teong Kim dan Azlan Johar turut mengetengahkan cadangan sama.
Al-Sultan Abdullah pernah menggalas jawatan sebagai Presiden FAM dari 2014 hingga 2017. Baginda juga pernah memegang jawatan Naib Presiden AFC dari 2002 hingga 2015.