Aksi suku akhir kedua MFL Challenge Cup antara Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dan Imigresen FC menyaksikan berlaku beberapa insiden panas antara kedua-dua pasukan.
Imigresen terlebih dahulu beraksi dengan 10 pemain apabila Babacar Gueye diarah keluar padang pada minit akhir separuh masa pertama.
Ini selepas pengadil, Kamil Zakaria Ismail mengesan kaki Gueye terlampau tinggi sehingga mengenai pemain pertahanan Kelantan TRW, Faris Shah Mohd Rosli ketika mengejar bola.
Aksi kedua-dua pasukan semakin panas apabila giliran pemain Kelantan TRW, Syafik Ismail pula dilayangkan kad merah pada minit ke-80.
Bekas pemain Terengganu FC itu dikenakan kad merah selepas dilihat cuba menghayunkan penumbuk ke arah Heshamudin Ahmad. Heshamudin turut dilayangkan kad kuning kerana memegang kepala Syafik.
Insiden tersebut dilihat tidak menjejaskan usaha Kelantan TRW mara ke separuh akhir MFL Challenge Cup dengan keputusan 2-1. Kelantan TRW menang dengan keputusan agregat 4-2.
Selepas ini, pasukan Pantai Timur itu akan menentang Penang FC untuk merebut tiket final. Satu lagi tiket menjadi rebutan antara Sabah FC dan Perak FA.