Bilangan Import Kuching City Menggerunkan

Sri Pahang Kuching City FC Bilangan Import Kuching City Menggerunkan
Kuching City FC
Azim Noor @mohdazim45
5:01pm 15/02/2023

Tatkala sesetengah pasukan Liga Super memilih berhemah dalam soal pemain import, Kuching City pula memilih jalan sebaliknya. Ini kerana kelab yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu menggunakan lapan pemain import untuk saingan liga musim ini.

Selain mengekalkan khidmat Abu Kamara dan Yuki Tanigawa, Il Gatto turut membawa masuk enam pemain import baru termasuk penjaga gol Filipina berdarah Australia, Julian Garcia Schwarzer.

Nama Schwarzer bukanlah asing bagi peminat-peminat EPL kerana bapanya, Mark ialah bekas penjaga gol Australia dan pernah mewakili Fulham, Middlesbrough dan Chelsea.

Selain Schwarzer, Kuching City turut membawa masuk Mihailo Jovanovic, Celio Ferrera Dos Santos, Sorijiddin Kuziev, Sudi Abdallah dan Aylton Alemao sebagai awang import baru musim 2023.

Ini sama sekali berbeza dengan Perak dan Negeri Sembilan yang hanya membawa masuk tiga awang import untuk saingan liga musim ini.

Bagi Presiden Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman, kehadiran pemain-pemain import baru ini dapat memastikan pasukan bukan saja mantap atas padang. Malah, dapat membantu pasukan daripada dilabel pasukan belasahan dalam Liga Super.

“Kami mahu memberi saingan sengit kepada semua pasukan dan kami tak mahu pasukan-pasukan lain anggap kami sebagai ‘pasukan belasahan’.

“Itulah objektif utama kami. (Buat masa sekarang), kami belum menetapkan sebarang sasaran; mungkin selepas siri latihan dan perlawanan pra-musim,” katanya kepada media beberapa minggu sebelumnya.

Kuching City bakal memulakan saingan Liga Super dengan turun menentang Kelantan di Kota Bharu pada 25 Februari ini.