Bintang Liverpool Anggap Liga Europa Kejohanan Kelas Kedua

Diogo Jota Liverpool FC Bintang Liverpool Anggap Liga Europa Kejohanan Kelas Kedua
Liverpool FC
Azim Noor @mohdazim45
10:52am 26/06/2023

Selepas menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas, Liverpool terpaksa beraksi dalam saingan Liga Europa musim hadapan. Dan bagi penyerang Reds, Diogo Jota, ia dianggap satu penurunan taraf oleh penyokong kerana prestijnya tidaklah sehebat Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Walaupun menamatkan musim dengan hebat, Liverpool gagal mengatasi Newcastle United yang menduduki tempat keempat dan slot terakhir UCL.

Ini bermakna Reds bakal beraksi di Liga Europa buat kali pertama sejak 2016 di mana mereka bergelar naib juara pada ketika itu. Musim itu juga merupakan musim pertama pengurus Jurgen Klopp bersama Liverpool.

“Saya pernah beraksi di Liga Europa dengan Wolves. Walaupun penyokong yang biasa melihat kami beraksi di Liga Juara-Juara Eropah setiap tahun dan merasakan ini penurunan taraf, ia masih satu lagi kejohanan berprestij.

“Kami akan berikan yang terbaik untuk memenangi kejohanan tersebut,” katanya seperti dilaporkan akhbar Daily Mail.

Satu-satunya kelegaan buat Reds dan Jota ialah tiada kelibat Real Madrid dalam kejohanan ini. Los Blancos dianggap pasukan badi buat Liverpool kerana banyak kali menewaskan pasukan Merseyside itu dalam saingan UCL.

Reds tumbang kepada Real Madrid dalam dua aksi final edisi 2018 dan 2022, aksi suku akhir edisi 2021 dan pusingan 16 pasukan terbaik musim lepas.

Tetapi Los Blancos boleh saja muncul di Liga Europa sekiranya mereka menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan UCL. Pasukan ini bakal berdepan pasukan yang bergelar naib juara kumpulan Liga Europa bagi menentukan pasukan mana layak ke peringkat seterusnya.

Walaupun hal itu dianggap mustahil untuk berlaku, Jota secara berseloroh berharap itu tidak terjadi pada musim depan.

“(Real Madrid) boleh saja menamatkan kempen UCL di tempat ketiga kumpulan mereka dan menjadi penghalang pada laluan kami.

“Tetapi sejak saya menyertai Liverpool, saya sentiasa disingkirkan oleh Real Madrid, jadi harapnya mereka tidak muncul (dalam Liga Europa),” tambahnya.