Penyerang muda Indonesia, Teuku Razzaa Fachrezi menjadi pemain terbaru yang beraksi di luar negara selepas menerima tawaran kelab La Liga, Rayo Vallecano.
ASEAN Football melaporkan penyerang berusia 21 tahun itu menyertai Los Franjirrojos B secara percuma yang beraksi di divisyen ketiga Sepanyol dengan kontrak setahun.
Dengan pengumuman ini, Razzaa menyertai pemain-pemain muda yang beraksi di luar negara seperti Marselino Ferdinan (KMSK Deinze) dan Ronaldo Kwateh (Bodrumspor).
Mengikut perancangan awal, beliau sepatutnya pergi ke Amerika Syarikat untuk mendaftar sebagai atlet berstatus pelajar dan bertanding dalam National Collegiate Athletic Association (NCAA) untuk acara bola sepak.
Bagaimanapun, rancangan tersebut berubah apabila bapa Razza, Teuku Arlan Perkasa Lukman dihubungi oleh ejen Andrey Grushin. Ejen ini mendedahkan bakat puteranya itu diintai oleh Vallecano.
“Sebenarnya Razzaa mempersiapkan diri untuk kuliah di Amerika Serikat sebagai student athlete dan bermain di NCAA competition.
“Kemudian Razzaa diminati agen bernama Andrey Grushin. Dia menawarkan opsi pro baik di Indonesia mau pun liga lain.
“Pada waktu kami sedang mempertimbangkan nilai beasiswa di beberapa Universitas atau College di Amerika Serikat, agen Andrey ini menawarkan opsi Rayo Vallecano U-21 di liga 3 Sepanyol.”
“Karena tawaran Rayo datang dan juga mendapat kesempatan untuk persiapan kuliah di Sepanyol, maka opsi ini Razzaa pilih,” katanya seperti dilaporkan Skor.id.
Razzaa bertuah kerana dapat berpeluang belajar menjadi penyerang hebat dengan bekas penyerang Manchester United dan Chelsea, Radamel Falcao. Falcao yang pernah menjadi sasaran Johor Darul Ta’zim (JDT) FC kekal di Los Franjirrojos untuk musim ini.