Seorang bintang muda Perak FC dikhabarkan telah berkelana ke Selangor FC untuk musim 2025/26.
Pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Moses Raj a/l Michel Dass.
Ini selepas wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan beliau telah menerima tawaran pasukan gergasi Lembah Klang itu.
“Selangor difahamkan telah menandatangani bek tengah muda Perak, Moses Raj yang pernah beraksi untuk pasukan Malaysia B-19,” katanya di X.
Moses merupakan tonggak utama Perak III dalam saingan Piala Presiden musim 2024/25. Kecemerlangan beliau turut menyebabkan khidmatnya dipanggil jurulatih Malaysia B-19 ketika itu, Juan Torres Garrido.
Moses mewakili Malaysia dalam Kejuaraan ASEAN B-19 2024 dan pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Beliau bakal menjadi pemain terbaru Perak yang mendapat pasukan baharu selepas pasukan itu menarik diri untuk musim 2025/26.
Sebelum ini, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Firdaus Saiyadi sah memuktamadkan perpindahan ke Penang FC baru-baru ini.