Menurut laporan dari media Indonesia, jurulatih pasukan utama mereka, Shin Tae Yong telah meminta beberapa pemain yang dilihat mampu untuk memberikan tonik tambahan dalam usaha pasukan tersebut meraih kejohanan Piala Suzuki AFF yang dijadualkan berlangsung Disember ini.
Dalam satu ciapan yang dimuat naik oleh Asian Football, terdapat empat pemain yang telah berada dalam senarai pemain yang diminta kepada PSSI untuk memberi keizinan bagi mewakili pasukan Garuda itu.
Bukan itu sahaja, keempat-empat pemain yang ingin dibawa ini mempunyai pengalaman yang cukup luas disebabkan mereka kini sedang berkelana di Eropah sekaligus bakal memberi kekuatan yang cukup selepas Indonesia diundi dalam kumpulan B bersama juara edisi lalu, Vietnam dan juga Malaysia.
Antara pemain yang diminta itu ialah Sandy Walsh yang kini sedang menikmati musim cemerlang bersama KV Mechelen yang bermain di Liga Belgium. Pemain yang beraksi di posisi pertahanan kanan ini merupakan seorang pemain yang serba boleh kerana kemampuannya untuk beraksi di pelbagai posisi di bahagian pertahanan.
Seterusnya, pemain yang disebut-sebut juga ialah Jordi Amat yang juga beraksi di Belgium bersama pasukan KAS Eupen. Pemain berusia 29 tahun ini yang juga sarat dengan pengalaman beraksi di Eropah termasuklah bersama pasukan bawah 21 tahun Sepanyol selain memiliki kebolehan untuk beraksi di bahagian tengah sebagai perancang.
Pemain ketiga yang dimaksudkan ialah Kevin Diks yang mempunyai kebolehan untuk beraksi di pelbagai posisi termasuklah pertahanan kiri kini merupakan antara salah seorang tonggak utama buat pasukannya yang kini berada di Liga Denmark bersama pasukan FC Copenhagen. Pengalaman beraksi di kelab besar seperti Fiorentina dan Empoili di Liga Itali pastinya ditagih pasukan Indonesia untuk memperkuatkan pasukan mereka.
Akhir sekali, pemain keempat merupakan prospek muda berbakat yang sedang meningkat naik iaitu Maes Hilgers yang merupakan antara pemain yang menyerlah bersama FC Twente yang juga terkenal dengan kemampuan untuk melahirkan ramai bintang bola sepak berkelas dunia.
Pemain berusia 20 tahun ini yang memiliki ketinggian 183 cm ini merupakan antara pertahanan yang sangat sukar ditembusi pada musim ini. Selain itu, beliau juga telah beraksi sebanyak 11 perlawanan dan berhasil untuk menjaringkan 1 gol.
Ini juga menunjukkan tindakan serius dimahukan oleh ketua jurulatih pasukan Indonesia dalam memastikan pasukan kendaliannya tidak berputih mata pada edisi kali ini.