Bintang Piala AFF Harimau Malaya Sertai Sri Pahang
Dunia
FAM
Advertisements

Sri Pahang nampaknya terus bernafsu mempersiapkan skuad bagi mengharungi musim baru Liga Malaysia, apabila menyambar pula khidmat pemain sayap kanan skuad kebangsaan, Nur Shamie Iszuan Amin.

Dalam kenyataan rasmi oleh kelab gergasi pantai timur itu pada Selasa, mereka mengumumkan pemain berusia 27 tahun dari Kuching itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun.

Nur Shamie yang membantu skuad negara kendalian Kim Pan-gon layak ke separuh akhir Piala AFF 2022 baru-baru ini merupakan produk Piala Presiden Sarawak, yang cukup dikenali kerana kelincahan dan kelicikannya.

Advertisements

Dia pernah menyarung jersi beberapa kelab Liga FAM ketika awal kariernya sebelum menyertai Negeri Sembilan pada 2020, dan kembali ke negeri kelahirannya untuk bermain dengan Sarawak United pada 2021.

Dalam tempoh dua musim di sana, dia mengukuhkan reputasi sebagai salah seorang tonggak utama skuad Sarawak United di sebalik prestasi buruk ditunjukkan pasukan itu sepanjang musim lalu.

Kemelut kewangan dihadapi Sarawak United, ditambah pula kegagalan mendapatkan lesen kebangsaan untuk bermain di Liga Malaysia musim ini memaksa ramai pemain untuk angkat kaki, dan Nur Shamie turut membuat keputusan beralih angin.

Advertisements

Sebagai rekod, Nur Shamie merupakan pemain tempatan kelapan direkrut skuad tok gajah selepas Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq, Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Aqil Arazi, Adam Malique dan Lokman Bah Din.

Terdahulu pada Selasa, Sri Pahang mengumumkan telah membawa masuk bintang import dari Liberia yang juga pemenang kasut emas Liga Super 2019, Kpah Sherman bagi memperkasa jentera serangan.

Gandingan Kpah Sherman dan seorang lagi import baru, Lucas Espindola dijangka bakal memberi igauan buruk buat pertahanan lawan tatkala Sri Pahang dilihat tekad mahu bangkit daripada prestasi suram yang membelenggu mereka sejak beberapa musim kebelakangan.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram