Bintang UCL Taruhan Trinidad & Tobago Julang King’s Cup
Dunia
Getty Images
Advertisements

Kejohanan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand bakal diserikan dengan kehadiran bintang ternama Eropah apabila Trinidad & Tobago juga difahamkan bakal mempertaruhkan barisan terbaiknya kali ini.

Pasukan yang berada pada tangga ke-101 dunia itu difahamkan telah membawa 20 orang pemain bagi berdepan Tajikistan dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 22 September depan.

Skuad kendalian Angus Eve ini telah membawa seorang pemain bertaraf Eropah iaitu Keston Julien untuk memantapkan lagi jentera pasukan.

Advertisements

Pemain muda berusia 23 tahun itu merupakan pertahanan kiri utama bersama kelab yang berpangkalan di Moldova iaitu FC Sheriff Tiraspol.

Beliau merupakan salah seorang watak penting ketika pasukannya bersaing di pentas tertinggi Eropah pada musim lalu apabila mengejutkan Real Madrid dengan keputusan 2-1 di Estadio Santiago Bernabeu pada peringkat kumpulan.

Trinidad & Tobago juga turut membariskan nama-nama seperti Levi Garcia yang merupakan  penyerang utama AEK Athens. Beliau telah pun menghasilkan 13 jaringan daripada 64 penampilan liga setakat ini.

Advertisements

Terdapat juga pemain yang berkelana di Liga Belgium dan juga Amerika Syarikat dipanggil oleh Eve bagi kejohanan empat penjuru di Utara Thailand ini.

Perkara ini semestinya menarik tatkala Malaysia yang berada pada tangga ke-147 dunia berpeluang untuk beradu kekuatan bersama Tajikistan (ke-108) dan tuan rumah, Thailand yang kini menduduki tangga ke-111 dunia.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram