Menjelang aksi Piala AFC Terengganu FC dan Stallion Laguna malam ini, ramai penyokong menjangkakan skuad Penyu akan meraih kemenangan mudah.
Ini disebabkan statistik gol yang menembusi gawang lawan mereka itu dalam dua perlawanan Kumpulan G.
Biarpun menjaringkan dua gol di halaman sendiri, itu masih gagal menghalang anak-anak buah Ernest Nierras itu daripada dibelasah 5-2 oleh kelab Liga 1 Indonesia, Bali United.
Lebih malang, The Stallions menjadi mangsa amukan kelab A-League, Central Coast Mariners apabila mereka dibelasah 9-1 dalam aksi kedua Kumpulan H.
Ini sekaligus menunjukkan gawang mereka dibolosi 14 kali dan hanya menjaringkan tiga gol selepas dua perlawanan Kumpulan G.
Justeru, tidak hairanlah kebanyakan kemenangan yang diraih The Stallions ialah di peringkat domestik.
Ketika ini, Stallion sedang mengharungi pusingan separuh akhir PFL Cup menentang wakil Filipina di ACL, Kaya FC – Iloilo.
Mereka ketika ini ketinggalan 2-1 dalam aksi pertama separuh akhir yang diadakan pada 21 Oktober lalu. Aksi timbal balik bakal diadakan pada 4 November ini.
Dengan trofi domestik menjadi tumpuan mereka pada minggu hadapan, tidak mustahil Nierras akan membuat beberapa perubahan untuk aksi malam ini.
Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada skuad Peteh apabila turun beraksi pada malam ini.
Biarpun Terengganu juga dijangka membuat beberapa pertukaran ekoran masalah kecederaan seperti didedahkan jurulatih, Tomislav Steinbruckner, ia dijangka tidak menjejaskan kekuatan pasukan itu.
Justeru, penyokong skuad Peteh mengharapkan satu lagi kemenangan dapat diraih di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.