Tonggak tengah pasukan Selangor FC dan juga pemain kebangsaan, Brendan Gan mahu melupakan segera tahun 2021 yang penuh berliku dan berazam untuk bangkit semula tahun ini.
Tahun 2021 bukanlah tahun yang diingini buat Brendan apabila beliau disahkan menghidap kanser testis yang membuatkan beliau terpaksa disisihkan oleh kelab dan pasukan kebangsaan selama beberapa bulan.
“Tahun 2021 harus menjadi tahun yang patut diingati. Cabaran demi cabaran tetapi ia juga sudah pun menunjukkan betapa kuatnya kita dan sejauh mana kita mampu berkembang dalam apa jua keadaan.
“Tidak sabar untuk mengharungi 2022 tetapi dalam kehidupan sekarang, kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku esok,” katanya di laman sosial Instagram.
Dalam karier Brendan, beliau pernah bangkit dua kali daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL). Untuk karier seorang pemain bola sepak, kecederaan ACL adalah antara ‘pembunuh’ karier seseorang pemain. Namun kebangkitan yang dipamerkan oleh Brendan Gan ternyata wajar dijadikan contoh.
Untuk rekod, kali terakhir Brendan beraksi di padang ialah ketika menyarung jersi Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia Zon Asia menentang Thailand pada 15 Jun 2021. Dalam perlawanan tersebut beliau beraksi 45 minit dan Malaysia menang dengan keputusan 1-0.