Brendan Gan ‘Mangsa’ Pertama VAR
Persahabatan
KL City FC
Advertisements

Pemain tengah KL City, Brendan Gan menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad merah menerusi ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) yang baru diperkenalkan di Liga Malaysia.

Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 menemukan KL City dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Cheras yang juga menjadi perlawanan ujian sistem VAR yang bakal digunakan dalam saingan liga buat kali pertama nanti.

Pada perlawanan tersebut, beberapa kejadian dan insiden telah mencuri perhatian peminat bola sepak yang menghiasi aksi tersebut antaranya sepakan penalti yang diberikan setelah penelitian dilakukan menerusi VAR.

Advertisements

Selain itu, insiden yang sudah pastinya menjadi tumpuan adalah apabila pemain tengah kebangsaan yang juga pemain KL City, Brendan Gan dilayangkan kad merah oleh pengadil setelah diteliti oleh VAR.

Kejadian yang berlaku pada minit ke-79 itu menyaksikan terjahan yang sedikit lewat oleh Brendan Gan ke atas pemain Negeri Sembilan, A. Selvan ketika bertembung merebut bola di kawasan tengah padang.

Terjahan itu menyebabkan Selvan rebah dan meraung kesakitan sekaligus menyebabkan pengadil tanpa teragak-agak memberikan kad kuning pada awalnya kepada Brendan yang turut terjatuh akibat pertembungan itu.

Advertisements

Namun begitu, setelah dinilai semula oleh pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Kathimin dan pengadil VAR, Tuan Mohd Yasin, akhirnya keputusan dibuat dengan kad merah dilayangkan kepada tonggak tengah The City Boys itu.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Azman Adnan yang merupakan pengulas perlawanan tersebut, beliau melihat kehadiran VAR ini merupakan suatu yang positif apabila pemain tidak lagi berkerumun ke arah pengadil bagi membantah sebarang keputusan.

Aksi berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 buat KL City hasil jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue manakala gol saguhati Negeri Sembilan disumbangkan pemain import, Jacque Faye.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram