Pemain tengah Selangor FC, Brendan Gan semalam mula melapor diri dan bersama rakan sepasukan turun ke padang untuk menjalani sesi latihan. Bintang kacukan Malaysia/Australia itu dilihat amat bersemangat untuk memulakan kempen musim ini.
Dalam satu hantaran di laman rasmi media sosial Selangor FC, Brendan meluahkan keterujaan kerana dapat kembali menjalani latihan. Menurut Brendan, beliau sangat gembira dapat berkumpul dan berjumpa rakan-rakan sepasukan.
“2022, kembali ke latihan, ia sangat mengujakan buat saya dan sudah lama saya menunggu peluang untuk turun berlatih bersama pasukan.”
Nilai positif dan kesungguhan yang ditampilkan Brendan wajar sekali dicontohi. Pemain yang berusia 33 tahun itu menganggap peluang dapat kembali ke kancah bola sepak ini adalah antara perkara yang beliau hargai dan sukakan.
“Masuk ke padang, dan dapat kembali bermain bola sepak adalah satu perkara yang saya suka,” ujar Brendan.
Dalam pada itu, Brendan sebelum ini telah meluahkan keyakinan untuk kembali bangkit. Pemain yang diuji dengan penyakit kanser testis pada Julai tahun lepas tekad dan terus berazam untuk memberikan yang terbaik pada 2022.
“2021 akan menjadi tahun untuk diingati. Cabaran demi cabaran. Tetapi ia telah menunjukkan kepada saya betapa kuatnya kita dan sejauh mana kita boleh bangkit dalam apa jua keadaan. Tidak sabar untuk harungi 2022 tetapi hidup ini kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada esok,” tulis Brendan di laman Instagram miliknya.