Hasrat Brunei DPMM untuk mendapatkan khidmat pemain sayap lincah, Akhyar Rashid dari Terengganu FC menemui jalan buntu kerana timbulnya kekeliruan berkenaan kontrak pemain tersebut.
Brunei DPMM sebelum ini dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain lincah itu bagi memperkukuh jentera serangan mereka dalam saingan Liga Super 2025-2026.
Namun begitu, hasrat kelab berpangkalan di Brunei itu terpaksa dihentikan buat masa ini selepas mendapat tahu bahawa Akhyar masih terikat dengan kontrak bersama Terengganu FC selama setahun lagi. Perkembangan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang proses rundingan yang berlaku sebelum ini.
Difahamkan, terdapat kekeliruan dari pihak ejen pemain berkenaan kontrak Akhyar. DPMM mengesahkan bahawa usaha mereka membawa Akhyar ke bumi Brunei tidak menjadi kenyaataan.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh pihak pengurusan DPMM dalam satu pengumuman di laman sesawang rasmi kelab tersebut.
“Perpindahan Akhyar Rashid ke DPMM terhenti kerana Akhyar mempunyai kontrak setahun lagi dengan pasukan Terengganu.
“Terdapat kekeliruan dengan ejennya, tetapi dia mempunyai kontrak setahun lagi dan nampaknya mustahil untuk DPMM mendapatkan khidmatnya buat masa ini,” umum DPMM.
Pihak pengurusan Terengganu juga baru-baru ini mengesahkan bahawa pemain berusia 26 tahun itu masih sah menjadi milik mereka kerana tiadanya rundingan mahupun permohanan rasmi dari DPMM untuk mendapatkan khidmat beliau.
Ini sekali gus menafikan spekulasi bahawa Akhyar telah pun bersedia untuk berhijrah ke Brunei dalam menghadapi saingan Liga Super 2025-2026.