Terengganu Jawab Khabar Angin Akhyar Rashid Ke Brunei DPMM
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu mengeluarkan kenyataan terkini bagi menjawab dakwaan minat dari pasukan Brunei DPMM terhadap Akhyar Rashid.

Sebelum ini, laman sesawang Brunei DPMM mengesahkan sedang membuat rundingan bagi membawa masuk pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid dari pasukan Terengganu.

“DPMM FC sedang mengadakan rundingan bersama pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid,” ujar pendatang baharu Liga Super itu.

Oleh itu, pihak pengurusan Terengganu FC menerusi sebuah kenyataan balas mengatakan bahawa tiada permohonan dari kelab berkenaan untuk mendapatkan pemain sayap, Akhyar Rashid.

Malah, khidmat Akhyar juga masih diperlukan oleh jurulatih Terengganu, Badrul Afzan bagi memperkuat pasukan pada musim hadapan oleh kerana kontrak pemain itu hingga tahun 2027.

“Berkenaan berita perpindahan Akhyar Rashid ke kelab DPMM FC dari Brunei juga tidak ada permohonan secara rasmi,” jawab Terengganu FC dalam satu kenyataan.

“Dan pemain utama Terengganu FC itu masih di dalam perancangan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali.”

“Kontrak beliau masih berbaki sehingga 2027,” tambah pihak kelab.

Akhyar Rashid merupakan tonggak utama Terengganu pada musim lalu apabila merekodkan 38 penampilan, 10 gol serta dua bantuan jaringan untuk membantu Sang Penyu berada di tangga ke-5 Liga Super.

Selain itu, Akhyar yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika awal musim lalu sah menjadi milik Terengganu pada Januari 2025 yang lalu.