Pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid berada dalam radar pendatang baharu Liga Super, Brunei DPMM FC.
Ini selepas kelab itu mengesahkan sedang mengadakan perbincangan dengan pemain sayap berusia 26 tahun itu.
“DPMM FC sedang mengadakan rundingan dengan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid. DPMM FC berharap dapat memuktamadkan perpindahan pemain kebangsaan Malaysia, Akhyar Rashid dari Terengganu FC,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang bersama Peteh, Akhyar telah merekodkan 37 penampilan, 10 gol dan enam bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.
Sekiranya perbincangan kedua-dua pihak berjalan lancar, anak jati Jitra, Kedah itu akan menjadi pemain Malaysia kedua menyertai DPMM selepas Fairuz Zakaria.
Selain Fairuz, kelab itu juga sudah memuktamadkan perpindahan penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta.
Walau bagaimanapun, usaha DPMM mendapatkan Azwan Aripin tidak berhasil. Ini selepas wartawan The Star, T. Avineshwaran melaporkan perpindahan itu gagal direalisasikan.