Brunei DPMM Minat Dapatkan Azwan Aripin
MakanBola
Sri Pahang FC

Pendatang baharu Liga Super, Brunei DPMM berminat untuk mendapatkan pertahanan kiri Sri Pahang, Azwan Aripin.

Minggu lalu, pihak Malaysian Football League (MFL) dalam sebuah kenyataan telah mengumumkan penyertaan Brunei DPMM sebagai salah satu kelab di Liga Super pada musim hadapan.

Maka, Brunei DPMM yang beraksi di Liga Singapura sebelum ini tampak rancak merekrut pemain bagi memperkuat skuad menjelang musim baharu Liga Super pada Ogos hadapan.

Dalam satu kenyataan, Brunei DPMM mengumumkan minat mereka untuk mendapatkan pertahanan kiri Sri Pahang iaitu Azwan Aripin yang menjadi tonggak utama skuad Tok Gajah musim lalu.

“Brunei DPMM FC berminat untuk mendapatkan khidmat pemain bek kiri Malaysia, Azwan Aripin,” umum pihak kelab.

“Azwan telah bermain sebanyak 20 perlawanan bersama Sri Pahang pada musim 2023/2024.”

Juara Liga Singapura dua kali tersebut menjelaskan khidmat Azwan amat ditagih untuk menggantikan tempat Najib Tarif yang sudah berusia dan Muiz Sisa yang bakal meninggalkan kelab.

”Bek kiri sedia ada DPMM, Najib Tarif kini sudah berusia 37 tahun, manakala Muiz Sisa pula berada di ambang untuk dilepaskan oleh kelab,” jelas pihak kelab.

“DPMM kini benar-benar sedang mencari bek kiri dari Malaysia untuk mengisi kekosongan tersebut.”

Sekiranya perpindahan ini berlaku, Azwan bakal menjadi rekrut terbaharu Brunei DPMM setelah ketibaan pemain Penang musim lalu, Fairuz Zakaria yang turut sertai kelab ini.