Pasukan Brunei DPMM sedar akan kualiti setiap kelab di Liga Super dan bersiap sedia untuk menghadapinya.
Terdahulu, pihak Malaysian Football League (MFL) menerusi sebuah kenyataan mengumumkan penyertaan kelab Brunei DPMM ke pentas Liga Super selepas kali terakhir pada tahun 2008.
Oleh itu, Pengurus Besar DPMM FC, En. Md Ali Haji Momin menyatakan rasa teruja untuk kembali melihat wakil Brunei tersebut kembali mewarnai kancah bola sepak Malaysia.
“Kami di pihak DPMM FC pastinya gembira kerana dapat kembali bersaing dalam kancah Liga Malaysia yang memiliki jenama cukup besar di rantau ini,” kata beliau.
Tambah beliau, kelab-kelab di Liga Super mempunyai kualiti yang tersendiri dan pastinya bakal memberikan satu cabaran hebat buat pasukan Brunei DPMM seperti yang diharapkan.
“Kami sedar dengan kualiti yang ada pada setiap kelab Liga Super yang pastinya memberikan cabaran hebat buat kelab DPMM FC.”
“Ini lah yang kami mahukan dan kami berharap dengan kehadiran DPMM FC dapat turut sama memeriahkan lagi saingan di Liga Super.”
“Liga Malaysia memang dekat dengan penyokong-penyokong di Brunei, saya percaya mereka juga tidak sabar dengan penyertaan DPMM FC pada musim baharu ini.”
“Apa yang kami harapkan, cabaran ini akan dapat tingkatkan kualiti pemain kami dan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” ujarnya ketika sesi sidang media di Johor Bahru.
Majlis Menandatangani Penyertaan DPMM FC Dalam Liga Malaysia 2025-2028 diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru yang turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, En. Mohd Shazli Shaik Mohd.