Advertisements
Bruno Fernandes Selamatkan Penumpang Pesawat
Inspirasi
MakanBola
Manchester United

Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menjadi wira dalam kehidupan sebenar apabila menyelamatkan seorang penumpang pesawat yang tidak sedarkan diri.

Daily Mail melaporkan Insiden ini terjadi dalam penerbangan EasyJet dari Manchester, England ke Lisbon, Portugal baru-baru ini. Fernandes dan rakan sepasukan, Diogo Dalot mengambil penerbangan tersebut untuk menyertai kem latihan Portugal.

Sebaik menyedari seorang penumpang tidak sedarkan diri di bahagian belakang pesawat, pemain perancang Portugal itu menjerit meminta bantuan.

Krew penerbangan bertindak pantas memberi bantuan kecemasan sebelum Fernandes memapahnya ke tempat duduk belakang pesawat. Selepas memastikan penumpang berkenaan dalam keadaan baik, beliau kembali semula ke tempat duduknya.

Insiden ini dikongsikan oleh Susanna Lawson, seorang eksekutif yang turut berada dalam penerbangan sama.

“Bruno (Fernandes) hendak ke tandas di belakang pesawat semasa penerbangan. Tiba-tiba kami terdengar jeritan orang meminta bantuan dengan kami yang mendengar melihat ke bahagian belakang.

“Krew penerbangan bergegas ke belakang untuk memberi bantuan. Terdapat kerusi kosong di bahagian belakang di mana Bruno membantu individu berkenaan untuk duduk.

“Beliau berada di belakang bersama mereka dan memastikan dia dalam keadaan baik. Ia mungkin berlaku sekitar lima hingga 10 minit dan kemudian, beliau kembali semula ke tempat duduk tetapi sekali lagi tidak menonjol. Beliau tidak mencari perhatian untuk dirinya,” katanya.

Tindakan pantas bekas pemain tengah Sporting Lisbon itu turut mendapat pujian Lawson. Ini kerana jika orang tidak mengenalinya, mereka menyangka Fernandes hanya penumpang biasa.

“Saya memuji sikapnya kerana menjaga penumpang yang kurang sihat itu. Sejujurnya, jika anda tidak tahu siapa dirinya, anda mungkin terfikir beliau hanya seorang penumpang biasa,” tambahnya.

Pemain tengah Portugal itu kini menunjukkan prestasi baik selepas menjaringkan tiga gol dalam empat aksi terakhir United. Ini termasuk satu gol semasa pasukan itu menewaskan Leicester City 3-0.

Fernandes dan Dalot menjadi sebahagian daripada 25 pemain yang dipanggil jurulatih Portugal, Roberto Martinez untuk aksi Liga Negara-Negara UEFA (UNL) bulan November.

Mereka akan berdepan Poland terlebih dahulu pada awal pagi 16 November. Ini disusuli aksi menentang Croatia pada awal pagi 19 November.