“Buang Masa” Johan Ghazali Tolak Tawaran RM100,000 Mentah-Mentah
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali memilih menolak tawaran seorang individu tertentu yang menawarkan RM100,000 dengan tujuan mencetuskan perbalahan palsu antara dirinya dan pempengaruh media sosial, Bob T20.

Johan mendedahkan perkara tersebut menerusi siri hantaran di Instagram Story. Beliau turut menunjukkan tangkap layar perbualan antara dirinya dan individu berkenaan sebagai bukti.

Individu tersebut mendakwa tindakan itu dilihat boleh membantu Johan dan Bob T20 agar lebih dikenali dan menjadi bualan di media sosial.

Walau bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak Johan atas alasan ia tidak memberi manfaat kepada sesiapapun. “Tak apalah, aku rasa kandungan macam ini tak masuk akal.

“Bazir masa orang saja. Kalau ada apa-apa tajaan yang boleh beri faedah kepada orang tengok, barulah baik. Terima kasih,” katanya.

Johan turut menegaskan beliau tidak akan berminat menghasilkan kandungan sebegitu rupa meskipun mendapat tawaran lumayan. Beliau berpandangan sebegitu kerana perkara tersebut disifatkan sebagai sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada orang lain.

“Tak kisahlah kau bagi aku RM5 juta, RM10 juta, RM100 juta atau RM100,000. Tidak ya. Aku takkan buat pemasaran sampah macam ini. Aku takkan buat drama tipu-tipu yang tak memberi faedah kepada orang yang tengok,” tambahnya.

Johan kini sibuk mengatur persiapan untuk aksi ONE Championship seterusnya menentang Ramadan Ondash pada penghujung Julai ini.