Dakwaan mengenai kewujudan ‘budaya angguk’ dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan tidak menggambarkan realiti sebenar proses perbincangan dan pembuatan keputusan dalam badan induk bola sepak negara.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin menjelaskan setiap ahli gabungan FAM diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan masing-masing dalam setiap mesyuarat dan perbincangan.
Menurut bekas Naib Presiden FAM itu, ahli gabungan turut bebas mengemukakan cadangan, bertanya soalan serta menyatakan perbezaan pendapat sekiranya mempunyai pandangan yang berbeza.
Beliau menegaskan sesuatu keputusan yang dicapai selepas melalui proses perbincangan tidak seharusnya terus dilabel sebagai ‘budaya angguk’.
“Dalam mesyuarat dan perbincangan FAM, setiap ahli diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan, bertanya soalan dan menyatakan perbezaan pendapat,” katanya.
Azhar berkata, tidak semua perkara yang dibincangkan dalam FAM diputuskan secara sebulat suara kerana setiap ahli mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing.
“Persetujuan selepas melalui proses perbincangan bukanlah ‘budaya angguk’,” tegasnya.
Kenyataan itu dibuat susulan pandangan calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mahu menghapuskan apa yang disifatkannya sebagai ‘budaya angguk’ dalam pentadbiran badan induk tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamarudin Hassan turut menggesa mana-mana pihak supaya tidak membuat dakwaan berdasarkan persepsi semata-mata sehingga boleh menjejaskan nama baik organisasi.
Beliau yang juga bekas Exco FAM berkata, dakwaan mengenai kewujudan ‘budaya angguk’ perlu disokong dengan fakta termasuk menyatakan mesyuarat atau perkara tertentu yang membuktikan ahli gabungan tidak diberikan ruang untuk bersuara.
Kamarudin menegaskan ahli gabungan FAM terdiri daripada pemimpin persatuan negeri dan kelab yang mempunyai pengalaman serta pandangan tersendiri dalam membuat sesuatu keputusan.