Ghani Hassan: FAM Perlu Bergerak Sebagai Satu Pasukan
MakanBola
MFL

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bergerak sebagai satu unit jika ingin membawa bola sepak negara lebih ke hadapan.

Atas sebab itu, beliau melihat sebarang hala tuju membabitkan FAM harus dibuat secara kolektif. Ini termasuk membabitkan ahli gabungan dan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang akan dipilih pada 17 September ini untuk baki penggal 2025-2029.

“Sudah tentunya saya juga mempunyai visi dan misi tersendiri untuk membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik, tetapi kita juga perlu memahami bahawa FAM adalah sebuah persatuan yang melibatkan badan-badan gabungan dan barisan Exco yang akan dipilih bersama dalam pemilihan ini nanti.

“Jadi, adalah tidak sesuai untuk saya membuat keputusan atau menentukan hala tuju seorang diri sekarang kerana proses perancangan FAM perlu mengambil kira pandangan Exco lain yang akan bersama-sama menerajui FAM, selain kepentingan setiap badan gabungan.

“Sekarang pun bukan sahaja Persatuan Bolasepak Negeri (FA) sebagai badan gabungan, malah turut melibatkan di peringkat kelab-kelab Liga Malaysia, Liga Bolasepak Amatur (AFL) bagi saingan liga semi profesional, Liga Wanita Nasional, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) serta golongan profesional,” katanya.

Beliau turut menegaskan sebarang keputusan yang diambil perlu mengambil kira kepentingan ekosistem bola sepak negara demi manfaat yang bersifat jangka panjang.

“Yang lebih penting terlebih dahulu ialah untuk baki penggal 2025-2029 yang hanya mempunyai tempoh lebih dua tahun sahaja lagi, kita dapat membentuk satu pasukan yang mempunyai visi yang sama dan mampu bekerja secara kolektif.

“Bagi saya, kepentingan bola sepak negara perlu diletakkan sebagai keutamaan. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bukannya secara individu,” tambahnya.

Ab Ghani bakal bersaing dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk merebut jawatan Presiden FAM.