Buriram United dikejutkan dengan satu keputusan yang tidak dijangka menjelang aksi AFC Champions League Elite (ACLE) bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kedua-dua jaguh Asia Tenggara ini akan bertemu dalam aksi pusingan 16 terakhir ACLE selepas Buriram dan JDT masing-masing menamatkan saingan liga dalam kelompok 8 pasukan terbaik.
Walau bagaimanapun, Buriram yang kini muncul pendahulu Thai League 1 menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan keputusan di luar jangka dalam aksi liga pada Sabtu lalu.
Skuad kendalian Osmar Loss itu turun dalam saingan Thai League 1 pada Sabtu untuk menentang pasukan di tangga ke-9, Uthai Thani di laman lawan dalam usaha meneruskan rentak positif.
Tunjang pasukan antaranya Neil Etheridge, Supachai Jaided, Jefferson Tabinas serta Guilherme Bissoli diturunkan dalam kesebelasan utama Buriram pada aksi ke-24 Thai League 1 ini.
Buriram menepati ramalan apabila menguasai permainan di sepanjang babak pertama dengan percubaan ke arah pintu gol Uthai Thani namun masih gagal terjemah dalam bentuk jaringan.
Pertukaran dilakukan Osmar Loss pada babak kedua dengan membawa masuk Dion Cools dan Lucas Crispim akan tetapi benteng Uthai Thani kekal bertahan dengan baik hingga aksi tamat
Keputusan seri ini tampak menggangu rentak Buriram United meski berpeluang cerah meraih 3 mata apabila kuasai lebih 70% penguasaan bola dan merekodkan 22 percubaan pada aksi ini.
Selepas ini, Buriram akan berdepan tugas sukar apabila akan bertemu JDT di pentas ACLE dengan skuad Harimau Selatan ini masih segar dengan kejayaan ditabalkan selaku juara Liga Super.
Aksi Buriram United vs JDT akan berlangsung pada Selasa, 4 Mac di Buriram Stadium dengan sepak mula akan bermula tepat jam 10 malam waktu Malaysia.