Kelab Sepanyol, CE Europa sah menjadi pilihan bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Teto Martin.
Perpindahan pemain sayap berusia 24 tahun itu diumumkan pengurusan CE Europa menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.
“CE Europa telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Teto Martín (24 tahun), yang tiba secara percuma dari JDT dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk mengukuhkan plot serangan pasukan utama.
“Pemain bola sepak dari Tenerife ini mempunyai bakat yang luar biasa, pantas dan mahir, suka bertindak berdasarkan kaki yang diubah untuk bergerak ke dalam, dia juga mampu memikul pelbagai peranan yang diperlukan untuk mengisi posisi penyerang tengah,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus menamatkan teka-teki tentang destinasi Martin selepas tidak lagi bersama JDT. Sebelum ini, empat kelab Sepanyol dilaporkan berminat mendapatkan beliau.
Meskipun hanya sempat bersama JDT selama semusim, Martin membantu pasukan itu muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia. Beliau juga menjadi sebahagian daripada skuad yang layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Martin menjadi pemain terbaru yang meninggalkan JDT dan mengikut jejak beberapa bekas rakan sepasukan. Antaranya Heberty Fernandes, Fergus Tierney, Samu Castillejo dan Moussa Sidibe.