Perancang tengah kacukan Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal mula dikaitkan menyarung jersi Harimau Malaya selain ceritanya di sini terus menjadi bualan.
Pemain berusia 25 tahun itu beraksi bersama St Louis City 2 di Amerika Syarikat dan menghabiskan sebahagian besar kariernya di sana.
Beliau kini tiba di Malaysia selepas kemas kini menerusi laman sosialnya menunjukkan Kuzain sudah berkunjung ke beberapa tempat di Ibu Kota pada aksi ASEAN Championship akhir tahun 2024.
Malah, bekas pemain B-17 USA ini sudah menjamah makanan tradisi Malaysia iaitu nasi lemak sekaligus menunjukkan budaya tempatan kuat mengalir dalam darahnya.
Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa pemain tengah berbakat ini bakal menyarung jersi Harimau Malaya.
“Sepatutnya kali ini (Pestabola Merdeka), Wan Kuzain dah sertai kem Malaysia. Beliau telah menghubungi saya beberapa bulan lalu namun nasib tidak baik kerana Wan Kuzain sedang cedera.
“InsyaAllah selepas pulih dari kecederaan, beliau akan datang, dapat pasport dan bermain untuk Malaysia,” jelasnya ketika ditemui oleh media di Wisma FAM.
Harimau Malaya kini melalui fasa revolusi yang menyaksikan pengendali kelahiran Australia, Peter Cklamovski dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad kebangsaan bagi menggantikan Pau Marti.
Malah, skuad B-23 Malaysia juga bakal dikendalikan oleh Nafuzi Zain sekaligus menggantikan peranan Juan Torres Garrido.