Challenge Cup: Lebih 15,000 Tiket Aksi Sabah vs Penang Terjual
MakanBola
Sabah FC

Sabah FC dijangka mendapat sokongan padu penyokong di Stadium Likas menjelang aksi final kedua MFL Challenge Cup.

Ini kerana pengurusan Sang Badak memaklumkan 15,148 keping tiket sudah terjual untuk aksi final kedua kejohanan itu.

“Sebanyak 15,148 tiket telah terjual setakat ini! Mantap kamu semua! Terima kasih kerana sudah beli tiket dan sokong pasukan kita. Kita jumpa esok di Stadium Likas,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengurusan Sabah turut memaklumkan jualan tiket secara dalam talian untuk bahagian Scoreboard masih dibuka buat para penyokong. Tiket boleh didapati di laman sesawang TicketHotline.

Jualan tiket fizikal pula dibuka untuk tiga bahagian iaitu Old Fortress, PT Zone dan Scoreboard.

Kehadiran para penyokong cukup ditagih anak buah Juan Torres Garrido bagi membolehkan pasukan itu meraih trofi pertama mereka sejak tahun 2019.

Tahun tersebut menyaksikan Sabah FC muncul juara Liga Perdana. Selain itu, Sabah juga berpeluang menebus kekecewaan final Piala FA 1998 untuk menjulang trofi di hadapan penyokong mereka.

Sang Badak akan berentap dengan Penang FC dalam aksi final kedua MFL Challenge Cup. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat selepas aksi final pertama di Stadium Bandaraya pada 4 April lalu.