Advertising
Challenge Cup: Penang Belasah PT Athletic
MakanBola
Penang FC

Penang FC meneruskan rentak cemerlang bersama jurulatih baharu mereka, Wan Rohaimi Wan Ismail dengan membelasah PT Athletic 4-0 dalam aksi suku akhir pertama MFL Challenge Cup.

Sang Harimau Kumbang semakin berkeyakinan selepas menewaskan PDRM FC 2-0 pada 4 Disember lalu. PT Athletic pula mengimpikan kemenangan buat kali pertama sejak menewaskan Machan FC pada 8 November lalu.

Dylan Wenzel-Halls dan Rodrigo Dias terus menjadi sandaran gol Wan Rohaimi. Pengendali PT Athletic, Nazrulerwan Makmor pula terus memberi kepercayaan kepada Nurshamil Abd Ghani dan Amri Yahyah sebagai peledak utama mereka.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Penang berusaha mencari kelebihan gol awal dengan sokongan padu penyokong di Stadium Bandaraya.

Situasi ini memaksa barisan pertahanan PT Athletic diketuai bekas pemain pertahanan kebangsaan, Abdul Latif Suhaimi bekerja keras menangkis ancaman serangan Penang.

Ad
Ad

Gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-12 menerusi Dias. Penyerang Brazil itu mudah melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol PT Athletic, Syakir Danial Ma’amal Hajri.

Ad

Lapan minit kemudian, giliran Wenzel-Halls pula mencipta nama sebagai penjaring. Bekas penyerang Central Coast Mariners itu mudah menolak bola melepasi Syakir Danial ke dalam gawang pelawat.

Penang kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-38 dengan memasukkan Nabil Ahmad Latpi menggantikan Al Hafiz Harun.

Sang Harimau Kumbang terus mengasak untuk mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Nazrulerwan membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Khairul Asyraf Ramli dan Syazwan Zainon.

Kemasukan dua pemain tersebut gagal mengubah momentum permainan kembali memihak kepada PT Athletic. Malah, Penang terus menambah jaringan menerusi kapten, Rafael Vitor pada minit ke-61.

Lapan minit selepas itu, giliran Nabil pula mencipta nama sebagai penjaring. Gol tersebut merupakan gol pertamanya bersama Sang Harimau Kumbang selepas menyertai pasukan itu pada awal musim 2024/25.

Penang terus memberi tekanan kepada PT Athletic tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan pasukan itu membawa bekalan empat gol untuk aksi suku akhir seterusnya pada 23 Disember.

Selepas ini, Sang Harimau Kumbang bakal berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 18 Disember. PT Athletic pula akan berdepan Bunga Raya Damansara FC pada 13 Disember.