China FA Arah Pemain Buang Tatu, Syarat Kekal Dalam Pasukan Kebangsaan
Dunia
ChinaFotoPress / Getty Images
Advertisements

Pemain-pemain bola sepak China diminta untuk membuang semua tatu pada badan mereka. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka mereka tidak akan dipilih menyertai pasukan kebangsaan. Arahan ini dikeluarkan oleh Pentadbiran Sukan Awam China (GAS).

Arahan ini merupakan perubahan arahan sebelumnya yang dikeluarkan GAS pada tahun 2018. Pada tahun tersebut, pemain diminta menutup semua bahagian badan mereka yang bertatu semasa bermain. Dalam satu kenyataan, GAS melihat ini sebagai cara menjadikan pemain sebagai contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Ini bukan kali pertama GAS mengeluarkan arahan yang ada kaitan dengan penampilan pemain. Pada tahun sama, GAS mengeluarkan arahan kepada pemain-pemain bola sepak wanita agar tidak mewarnakan rambut mereka. Sekiranya mereka didapati mewarnakan rambut, mereka dilarang daripada diturunkan dalam kesebelasan utama.

Advertisements

Dalam kalangan masyarakat China, perbuatan bertatu ditolak kerana ia digunakan sebagai cara merendahkan komuniti minoriti, menghukum penjenayah dan mengenalpasti pemilikan hamba. Bagi pengamal ajaran Confucius, ia ditolak kerana bertentangan dengan nilai ketaatan kepada ibu bapa dan mengelakkan kecederaan pada badan.

Di sebalik sentimen negatif terhadap perbuatan bertatu, ia amat diminati oleh golongan muda dan pemain bola sepak. Antara pemain China yang dikenali dengan imej bertatu ialah Zhang Linpeng (Guangzhou FC). Bagi para pemain muda, suka atau tidak, tatu harus dibuang. Jika tidak, mereka boleh ucapkan selamat tinggal kepada impian menyarung jersi pasukan kebangsaan. Sebarang ciri disiplin yang melayakkan pemain menyertai skuad China akan ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak China (CFA).

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram