Advertisement
Choi Moon-sik Simpan Hasrat Kelantan Mampu Tewaskan JDT & Kedah
Dunia
MakanBola
TRW Kelantan FC

Walaupun beberapa minggu mengambil alih skuad Kelantan, Choi Moon-sik dilihat mempunyai keyakinan terhadap anak-anak buahnya itu. Malah, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu percaya skuad Red Warriors mampu mengatasi pasukan-pasukan elit termasuk JDT dan Kedah.

Ketika ini, skuad Kelantan sedang menjalani program pra-musim sebagai persiapan menghadapi Liga Super yang bermula akhir Februari ini.

“Sekarang saya dalam fasa pembentukan pasukan dan sudah tentu saya mahu pastikan yang kami bersedia untuk musim baru (liga),” katanya semasa ditemubual media rasmi MFL.

Moon-sik bersikap realistik mengenai pasukannya dalam liga. Dengan semua pasukan berupaya memberi saingan sengit, beliau merasakan kedudukan pertengahan liga merupakan sasaran yang boleh dicapai skuad Kijang.

“Bagi sasaran, saya mahu pastikan Kelantan mampu berada di kedudukan pertengahan liga dan jika boleh saya mahu Kelantan mampu menewaskan pasukan gergasi seperti Kedah dan JDT sekaligus membuktikan kehadiran kami tidak boleh dipandang rendah.

“Sesiapa sahaja yang kami akan jumpa pada lima perlawanan pertama, saya tidak kisah kerana yang lebih penting adalah persiapan kami di permulaan musim ini. Saya mahu semua pemain berada pada tahap terbaik sebelum musim bermula,” tambahnya.