Christopher Raj mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada menyertai Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Penggal 2025-2029.
Keputusan ini menyaksikan 15 Januari lalu merupakan hari terakhir beliau menyertai mesyuarat FAM sebagai ahli Exco badan induk itu.
“Saya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Oktober tahun lalu dan hari ini dengan rasa dukacita saya secara rasminya mengumumkan pengunduran saya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Justeru, tarikh 15 Januari lalu ialah hari terakhir saya menunaikan tanggungjawab hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM sebagai Exco sejak 2017.
“Selepas lapan tahun berkhidmat, diakui ini bukanlah satu keputusan yang mudah tetapi ia adalah jalan terbaik untuk saya fokus sepenuhnya kepada kerjaya hakiki.”
Christopher yang juga bekas pengurus pasukan Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) melihat ini masa terbaik buat muka baru membarisi barisan Exco FAM.
“Tanggungjawab ini sememangnya indah di mata kasar namun ia datang dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar demi negara,” tambahnya.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden FAM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan FAM di atas peluang, sokongan dan pengalaman berharga yang saya perolehi sepanjang saya berkhidmat.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga buat rakan-rakan Exco yang berjuang bersama saya selama ini dan selamat maju jaya, teruslah membawa bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi.”
Pemilihan kali ini menyaksikan 22 calon mengintai 10 posisi Exco FAM. Lapan posisi diperuntukkan untuk Exco lelaki dan dua lagi diperuntukkan untuk Exco wanita.
Datuk Zainal Abidin Hassan dan Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahaya mengetuai persaingan merebut lapan posisi berkenaan. Penyandang Exco, Datuk Suraya Yaacob mengetuai persaingan untuk kedudukan Exco wanita.